KATA-KATA peluang hanya datang sekali bagi aku adalah tidak tepat. Demikian kerana, aku berpendapat kita sebenarnya bertemu dengan banyak peluang dalam hidup, namun kita hanya akan jumpa sekali sahaja dengan yang paling baik. Tidak kisah dalam apa lapangan sekalipun, aku tidak berhajat mengubah pandangan aku (apatah lagi bila menulis berkaitan diri sendiri).
Tidak payah menapak jauh, mencari kisah mereka yang lebih panjang langkahnya kerana aku sendiri sudah melepasi garisan untuk membolehkan aku berkata-kata demikian. Tapi, kita harus saling faham bahawa garisan yang kumaksudkan bukanlah garisan sempadan fizikal (walau ia boleh juga diambil kira) sebaliknya adalah garisan persempadanan pengalaman setelah lebih separuh hayat menghayun dua kaki membawa diri melayan jatuh bangun.
"Jika semut yang kecil pun boleh memberi sakit yang ketara, kita harus bijak untuk menjadikan peluang kecil sebagai agen kepada perubahan dan kejayaan yang lebih besar.
Bagiku, hidup terlalu singkat untuk 'memeluk' semua benda dan kerana itu, pilihlah satu sahaja dan jadikannya yang terbaik. Padaku, orang yang hebat dalam banyak bidang, memang terserlah kehebatannya tapi orang yang hebat dalam satu bidang dan menjadikannya yang terbaik adalah lebih hebat kerana dia berjaya melawan sisi buruk dan menawan sisi indah sesuatu perkara itu.
Ramai antara kita yang lebih suka menunggu betul-betul yakin baru mahu merebut peluang hingga membiarkan peluang yang ada berlalu begitu sahaja. Jika semut yang kecil pun boleh memberi sakit yang ketara, kita harus bijak untuk menjadikan peluang kecil sebagai agen kepada perubahan dan kejayaan yang lebih besar.
Paling penting adalah minda kita. Kuasa pemikiran itu sebenarnya sangat hebat yang membolehkan kita menukar wajah hodoh kegagalan kepada rupa indah kejayaan dan pahitnya jatuh kepada manisnya berdiri semula. Kekuatan untuk mengawal minda agar sentiasa menjadi positif bukan boleh dimiliki semua orang, terutamanya bagi mereka yang lebih mudah memikirkan perkara negatif (tapi cuba mengawalnya bukan sukar jika benar-benar bersedia).
Aku sendiri bukan hebat dalam menukar negatif menjadi positif tetapi bak kata pepatah, mencuba adalah separuh dari kejayaan. Cuma jangan terlalu 'positif' sehingga memudaratkan diri dan menafikan had terhadap sesuatu usaha. Berpada-pada itu penting.
Dalam menjadikan setiap peluang berhasil, jangan lupakan insan-insan yang berada di sepanjang jalan, yang setia memberi dorongan mahupun cacian kerana dengan cara itu kita dapat mengimbangi hidup. Jika ada yang tidak berpuashati dengan kejayaan kita, anggap saja kewujudan kita dipedulikan dan pencapaian kita itu mendapat perhatian daripada sekeliling.
Keadaan ini juga membayangkan kita, sedikit sebanyak telah menjadi sumber inspirasi dan penyumbang kepada tindak balas persekitaran. Perkara ini juga sebenarnya baik untuk kita agar tidak hanya berada pada takuk lama dan sentiasa berusaha memperbaiki diri.
Persaingan menjadikan kita lebih bersemangat untuk mencapai yang lebih baik dan ia juga membuktikan kita tidak berjuang berseorangan. Apabila kita bersaing dalam lapangan yang sama, bermaksud kita sudah ada rakan sepejuang, tetapi dalam konteks persaingan. Sekurang-kuranganya, jika dia pesaing yang baik, dia akan menghulur tangan ketika kita tersadung atau penat.
Lidah kehidupan pastinya berfungsi dengan baik jika dapat mengesan rasa yang pelbagai dan mengecapnya buat kali pertama membolehkan lidah kehidupan kenal rasa itu jika ia berlaku untuk kali seterusnya dan bagaimana cara untuk mengendalikan rasa yang tidak bagus.
Jangan takut untuk jatuh kerana, tanpa jatuh, kita tidak akan rasa perlunya untuk bangkit berdiri dengan gagah.
~ends
NOTE: Peluang menjejak kaki ke Pulau Sipadan dan berkhemah di sana serta kesempatan menghabiskan tiga malam di rumah rehat Taman Kinabalu bukan boleh dinikmati semua orang. Kerana itu, jika kita berpeluang, rebutlah ia. Jangan tunggu hingga rasa yang terbaik telah muncul kerana, mungkin kali ini sebenarnya yang terbaik untuk kita dan kali lain pula mungkin terbaik untuk orang lain.
GALERI Tapak Warisan Dunia Kinabalu yang diwujudkan oleh Taman-Taman Sabah (TTS) adalah platform penting dalam menyediakan maklumat asas kepada para pengunjung mengenai Taman Kinabalu, Kundasang yang merupakan salah satu daripada 911 buah Tapak Warisan Dunia (TWD), seluruh dunia.
Dirasmikan pada 2 Dis 2010 oleh Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Ellron Angin, galeri terbabit disifatkan sebagai medium yang signifikan dalam menyalurkan maklumat kepada orang awam mengenai keunikan dan kekayaan semulajadi Taman Kinabalu serta kepentingan pemuliharaan Taman selepas sepuluh (10) tahun bergelar TWD.
Galeri yang mempunyai tiga ruang utama itu direka menggunakan unsur grafik dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun hadapan.
Tiga ruang dalam galeri itu adalah:
1) Ruang 3 dimensi Gunung Kinabalu yang menyediakan maklumat mengenai kawasan menarik di Taman Kinabalu serta persempadanan, topografi, kronologi pengiktirafan dan kriteria kelayakan Taman Kinabalu sebagai TWD.
2) Ruang 'Diorama' yang menampilkan tiga vegetasi berbeza mengikut ketinggian bagi memudahkan pengunjung memahami susunan tumbuhan dan hidupan yang terdapat di taman ini mengikuti kawasan Pergunungan Atas, Pergunungan Bawah dan Tanah Rendah.
3) Ruang panorama flora dan fauna Gunung Kinabalu yang menampilkan tumbuhan dam spesimen haiwan sesebenar yang boleh dilihat di kawasan Taman untuk mewujudkan suasana sebenar Taman Kinabalu kepada pengunjung.
Untuk rekod, meliputi kawasan seluas 75,370hektar (753.7kmpersegi), Taman Kinabalu telah diwartakan sebagai taman Negara pada 1964 yang dikenali sebagai Taman negara Kinabalu (Kinabalu National Park) di bawah Ordinan Taman Negara 1962 dan kemudian ditukar kepada Taman Kinabalu melalui Pindaan dalam Enakmen Taman-Taman 1984 menjadikannya sebagai 'Taman Kinabalu'.
Penwartaan kawasan yang meliputi tiga daerah ini iaitu Ranau (31,700ha), Kota Belud (25,700ha) dan kota Marudu (17,970ha) bertujuan mengekalkan keindahan alam, melindungi habitat flora dan fauna dan melindungi sumber tadahan air.
Terdapat enam sub-stesen di taman Kinabalu iaitu Nalapak, Serinsim, Monggis, Sayap, Poring dan Mesilau. Kemuncak tertinggi Gunung Kinabalu adalah 4,095meter.
Taman Kinabalu juga disifatkan sebagai TWD kesepuluh terkaya di dunia dan diiktiraf sebagai 'hotspot' kepada kekayaan flora dan fauna menjadikan kawasan ini layak mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia. Pengkelasan TWD diambilkira dari aspek kebudayaan, alam semulajadi serta kebudayaan dan alam semulajadi.
"Ruang 'Diorama' yang menampilkan tiga vegetasi berbeza mengikut ketinggian bagi memudahkan pengunjung memahami susunan tumbuhan dan hidupan yang terdapat di taman ini"
~ends
NOTE: Rakyat Sabah beruntung dan patut bangga kerana Gunung Kinabalu mendapat pengiktirafan dunia dan kerana itu kerjasama semua penting untuk elak status Tapak Warisan Dunia ditarik balik. Memalukan jika perkara tu terjadi kerana membayangkan tiada kerjasama untuk memelihara dan memulihara alam di negeri ini.
"Upacara 'monolob' diadakan sebagai 'memberitahu' penjaga gunung bahawa mereka akan mendaki gunung yang diikuti 'Kakakapan do Gayo Ngaran' ini.
'KAKAKAPAN DO GAYO NGARAN' atau Ziarah Kinabalu adalah amalan mendaki Gunung Kinabalu beramai-ramai oleh penduduk dari Kampung (Kg) Bundu Tuhan dan Kg Kiau, Kundasang, Sabah yang merupakan sebahagian tradisi penduduk dari dua kampung itu sejak lama dahulu.
Amalan ini dimulakan dengan tradisi 'monolob' atau korban suci yang menggunakan tujuh ekor ayam putih oleh 'bobolian' selain tujuh helai sirih, rokok daun, pinang muda, tembakau, garam, beras dan 'komburongoh' yang diwarisi zaman-berzaman.
Permulaan kepada wujudnya tradisi ini seperti kisah Ulik Mayang di Terengganu, yang berunsur kepada 'pemujaan' atau 'menghormati' semangat. Jika di Terengganu, mereka mengadakan Ulik Mayang untuk semangat laut, di sini pula, mereka dedikasikan kepada semangat gunung.
Dikatakan, tujuh (7) pemburu telah melalui peristiwa pelik iaitu jatuhnya mutiara dari langit ketika mereka mencari sumber hutan di gunung. Setelah mereka mengutipnya, mereka tidak nampak jalan turun lalu mengambil keputusan untuk membuang mutiara berkenaan. Namun, salah seorang daripada mereka, Kisai, menyelitkan mutiara berkenaan pada cawatnya yang menyebabkan dia terus tidak nampak jalan pulang dan terpaksan diusung oleh rakan-rakannya.
Setibanya mereka dikampung, ketika badan Kisai mahu dibersihkan, mereka menjumpai mutiara berkenaan yang didapati boleh menjadi penawar penyakit. Mereka kemudian kembali ke gunung untuk mendapatkan mutiara itu namun tidak menemuinya.
Jsuteru, upacara 'monolob' diadakan sebagai 'memberitahu' penjaga gunung bahawa mereka akan mendaki gunung yang diikuti 'Kakakapan do Gayo Ngaran' ini. Selain itu, komuniti Dusun di sekitarnya juga berpendapat Gunung Kinabalu merupakan tempat persinggahan roh sebelum menuju tempat abadi.
Apatahlagi, penduduk di kedua-dua buah kampung memanggil gunung ini sebagai 'agayo oh ngaran' yang bermaksud 'nama yang besar dan agung'.
Amalan ini sebenarnya telah terhenti selepas Taman Kinabalu diwartakan sebagai Taman Negara ada 1964 setelah pengurusan kawasan Taman yang meliputi tiga daerah (Ranau, Kota Belud dan Kota Marudu) itu diambil allih oleh Taman-Taman Sabah selain kenaikan perbelanjaan juga menjadi penghalang kepada komuniti tempatan untuk meneruskan tradisi ziarah ini.
Menurut Pengarah TTS, Paul Basintal, pengurusan Taman mengambil inisiatif untuk menghidupkan semula aktiviti ini dan bercadang mengadakannya sekali dalam setahun iaitu pada Hari Komuniti Taman.
Katanya, inisiatif ini adalah sebagai tanda Taman menghormati hubungan komuniti setempat degan gunung berkenaan selain menarik lebih ramai komuniti tempatan untuk sama-sama memelihara dan memulihara kawasan itu, sekali gus terlibat dalam penjagaan hutan.
~ends
NOTE: Elok gak bagi peluang ikut program macam ni. Sekurang2nya mereka nampak usaha pihak berkenaan dan paling penting, dapat buka mata segelintir pihak yg hanya tahu komplen pasal kawalan dan bayaran yang dikenakan. :-)
"dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan pada akhirat kelak dari orang-orang yang rugi." (Surah Ali-Imran:85)