Tuesday, December 14, 2010

Peluang Terbaik Hanya Sekali

KATA-KATA peluang hanya datang sekali bagi aku adalah tidak tepat. Demikian kerana, aku berpendapat kita sebenarnya bertemu dengan banyak peluang dalam hidup, namun kita hanya akan jumpa sekali sahaja dengan yang paling baik. Tidak kisah dalam apa lapangan sekalipun, aku tidak berhajat mengubah pandangan aku (apatah lagi bila menulis berkaitan diri sendiri).

Tidak payah menapak jauh, mencari kisah mereka yang lebih panjang langkahnya kerana aku sendiri sudah melepasi garisan untuk membolehkan aku berkata-kata demikian. Tapi, kita harus saling faham bahawa garisan yang kumaksudkan bukanlah garisan sempadan fizikal (walau ia boleh juga diambil kira) sebaliknya adalah garisan persempadanan pengalaman setelah lebih separuh hayat menghayun dua kaki membawa diri melayan jatuh bangun.
Font size

"Jika semut yang kecil pun boleh memberi sakit yang ketara, kita harus bijak untuk menjadikan peluang kecil sebagai agen kepada perubahan dan kejayaan yang lebih besar.

Bagiku, hidup terlalu singkat untuk 'memeluk' semua benda dan kerana itu, pilihlah satu sahaja dan jadikannya yang terbaik. Padaku, orang yang hebat dalam banyak bidang, memang terserlah kehebatannya tapi orang yang hebat dalam satu bidang dan menjadikannya yang terbaik adalah lebih hebat kerana dia berjaya melawan sisi buruk dan menawan sisi indah sesuatu perkara itu.

Ramai antara kita yang lebih suka menunggu betul-betul yakin baru mahu merebut peluang hingga membiarkan peluang yang ada berlalu begitu sahaja. Jika semut yang kecil pun boleh memberi sakit yang ketara, kita harus bijak untuk menjadikan peluang kecil sebagai agen kepada perubahan dan kejayaan yang lebih besar.

Paling penting adalah minda kita. Kuasa pemikiran itu sebenarnya sangat hebat yang membolehkan kita menukar wajah hodoh kegagalan kepada rupa indah kejayaan dan pahitnya jatuh kepada manisnya berdiri semula. Kekuatan untuk mengawal minda agar sentiasa menjadi positif bukan boleh dimiliki semua orang, terutamanya bagi mereka yang lebih mudah memikirkan perkara negatif (tapi cuba mengawalnya bukan sukar jika benar-benar bersedia).

Aku sendiri bukan hebat dalam menukar negatif menjadi positif tetapi bak kata pepatah, mencuba adalah separuh dari kejayaan. Cuma jangan terlalu 'positif' sehingga memudaratkan diri dan menafikan had terhadap sesuatu usaha. Berpada-pada itu penting.

Dalam menjadikan setiap peluang berhasil, jangan lupakan insan-insan yang berada di sepanjang jalan, yang setia memberi dorongan mahupun cacian kerana dengan cara itu kita dapat mengimbangi hidup. Jika ada yang tidak berpuashati dengan kejayaan kita, anggap saja kewujudan kita dipedulikan dan pencapaian kita itu mendapat perhatian daripada sekeliling.

Keadaan ini juga membayangkan kita, sedikit sebanyak telah menjadi sumber inspirasi dan penyumbang kepada tindak balas persekitaran. Perkara ini juga sebenarnya baik untuk kita agar tidak hanya berada pada takuk lama dan sentiasa berusaha memperbaiki diri.

Persaingan menjadikan kita lebih bersemangat untuk mencapai yang lebih baik dan ia juga membuktikan kita tidak berjuang berseorangan. Apabila kita bersaing dalam lapangan yang sama, bermaksud kita sudah ada rakan sepejuang, tetapi dalam konteks persaingan. Sekurang-kuranganya, jika dia pesaing yang baik, dia akan menghulur tangan ketika kita tersadung atau penat.

Lidah kehidupan pastinya berfungsi dengan baik jika dapat mengesan rasa yang pelbagai dan mengecapnya buat kali pertama membolehkan lidah kehidupan kenal rasa itu jika ia berlaku untuk kali seterusnya dan bagaimana cara untuk mengendalikan rasa yang tidak bagus.

Jangan takut untuk jatuh kerana, tanpa jatuh, kita tidak akan rasa perlunya untuk bangkit berdiri dengan gagah.

~ends
NOTE: Peluang menjejak kaki ke Pulau Sipadan dan berkhemah di sana serta kesempatan menghabiskan tiga malam di rumah rehat Taman Kinabalu bukan boleh dinikmati semua orang. Kerana itu, jika kita berpeluang, rebutlah ia. Jangan tunggu hingga rasa yang terbaik telah muncul kerana, mungkin kali ini sebenarnya yang terbaik untuk kita dan kali lain pula mungkin terbaik untuk orang lain.

No comments:

Post a Comment