Tuesday, December 14, 2010

Galeri Tapak Warisan Dunia Kinabalu

GALERI Tapak Warisan Dunia Kinabalu yang diwujudkan oleh Taman-Taman Sabah (TTS) adalah platform penting dalam menyediakan maklumat asas kepada para pengunjung mengenai Taman Kinabalu, Kundasang yang merupakan salah satu daripada 911 buah Tapak Warisan Dunia (TWD), seluruh dunia.

Dirasmikan pada 2 Dis 2010 oleh Pembantu Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Ellron Angin, galeri terbabit disifatkan sebagai medium yang signifikan dalam menyalurkan maklumat kepada orang awam mengenai keunikan dan kekayaan semulajadi Taman Kinabalu serta kepentingan pemuliharaan Taman selepas sepuluh (10) tahun bergelar TWD.

Galeri yang mempunyai tiga ruang utama itu direka menggunakan unsur grafik dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun hadapan.

Tiga ruang dalam galeri itu adalah:

1) Ruang 3 dimensi Gunung Kinabalu yang menyediakan maklumat mengenai kawasan menarik di Taman Kinabalu serta persempadanan, topografi,
kronologi pengiktirafan dan kriteria kelayakan Taman Kinabalu sebagai TWD.

2) Ruang 'Diorama' yang menampilkan tiga vegetasi berbeza mengikut ketinggian bagi memudahkan pengunjung memahami susunan tumbuhan dan hidupan yang terdapat di taman ini mengikuti kawasan Pergunungan Atas, Pergunungan Bawah dan Tanah Rendah.

3) Ruang panorama flora dan fauna Gunung Kinabalu yang menampilkan tumbuhan dam spesimen haiwan sesebenar yang boleh dilihat di kawasan Taman
untuk mewujudkan suasana sebenar Taman Kinabalu kepada pengunjung.

Untuk rekod, meliputi kawasan seluas 75,370hektar (753.7kmpersegi), Taman Kinabalu telah diwartakan sebagai taman Negara pada 1964 yang dikenali sebagai Taman negara Kinabalu (Kinabalu National Park) di bawah Ordinan Taman Negara 1962 dan kemudian ditukar kepada Taman Kinabalu melalui Pindaan dalam Enakmen Taman-Taman 1984 menjadikannya sebagai 'Taman Kinabalu'.

Penwartaan kawasan yang meliputi tiga daerah ini iaitu Ranau (31,700ha), Kota Belud (25,700ha) dan kota Marudu (17,970ha) bertujuan mengekalkan keindahan alam, melindungi habitat flora dan fauna dan melindungi sumber tadahan air.

Terdapat enam sub-stesen di taman Kinabalu iaitu Nalapak, Serinsim, Monggis, Sayap, Poring dan Mesilau. Kemuncak tertinggi Gunung Kinabalu adalah 4,095meter.

Taman Kinabalu juga disifatkan sebagai TWD kesepuluh terkaya di dunia dan diiktiraf sebagai 'hotspot' kepada kekayaan flora dan fauna menjadikan kawasan ini layak mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia. Pengkelasan TWD diambilkira dari aspek kebudayaan, alam semulajadi serta kebudayaan dan alam semulajadi.

"Ruang 'Diorama' yang menampilkan tiga vegetasi berbeza mengikut ketinggian bagi memudahkan pengunjung memahami susunan tumbuhan dan hidupan yang terdapat di taman ini"

~ends
NOTE:
Rakyat Sabah beruntung dan patut bangga kerana Gunung Kinabalu mendapat pengiktirafan dunia dan kerana itu kerjasama semua penting untuk elak status Tapak Warisan Dunia ditarik balik. Memalukan jika perkara tu terjadi kerana membayangkan tiada kerjasama untuk memelihara dan memulihara alam di negeri ini.

No comments:

Post a Comment